بسم الله الرحمن الرحيم

Latar Belakang

Masjid ataupun Surau adalah tempat di mana kita dapat bersama-sama sebagai qariah bermuhasabah dan beribadah kepada Allah swt. Ia juga merupakan tempat di mana kita dapat mengukuhkan keimanan dan jati diri dalam perjalanan kita sebagai seorang muslim. Nabi Muhammad (S.A.W.) setelah berhijrah ke Madinah, antara langkah pertama Rasulullah saw adalah membina sebuah masjid di Quba ', yang berfungsi sebagai lambang perpaduan Islam. Ini telah mengingatkan ahli qariah di Country Heights, Kajang, tentang kepentingan penubuhan pusat dan simbol ini –yakni masjid, ataupun surau.

Daripada Uthman bin 'Affan katanya sesungguhnya saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang membina masjid ikhlas kerana Allah, Allah akan membina untuknya rumah seperti itu di dalam syurga." (al-Bukhari: 439, Muslim: 533)

Dengan penuh keyakinan, komitmen dan rasa tanggungjawab, dan berpegang teguh pada kepercayaan bahawa sesuatu kebaikan itu perlu dimanifestasikan secara praktikal, penduduk Islam di Country Heights telah mengadakan suatu inisiatif untuk menubuhkan satu pusat islam dikenali sebagai Surau Pusat An-Nur Country Heights ataupun SPANCH.

Surau ini dijadikan sebagai wadah untuk ahli qariah Country Heights untuk bukan sahaja beribadah kepada Allah swt Rabbul Jalil, tetapi sebagai pusat kegiatan sosial masyarakat untuk bersilaturrahim dan juga pusat ilmu.

Surau Pusat An-Nur terletak di Country Heights, Kajang, terletak kira-kira 25 km selatan Kuala Lumpur. Populasi semasa penduduk Country Heights adalah kira-kira 1,000 keluarga terdiri daripada pelbagai kaum dan agama dan dijangka meningkat di masa depan. Penduduk Islam mewakili kira-kira satu pertiga daripada jumlah penduduk. Country Heights juga terletak berdekatan dengan beberapa kawasan perumahan yang majoritinya adalah beragama Islam.

Oleh itu, kewujudan Surau Pusat Annur Country Heights ini bukan sahaja penting untuk kegiatan ahli qariah setempat sebagai pusat ibadah dan masyarakat tetapi membolehkan masyarakat setempat dan berdekatan melibatkan diri dan berinteraksi dalam kegiatan ibadah, ilmu dan sosial.